Tuesday 3 July 2012

Kertas Cadangan Penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Juara

Pendahuluan
Sebagai sebuah sekolah yang telah lama ditubuhkan, Sekolah Kebangsaan Juara, Cherok Tokkun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Boleh dikatakan hampir keseluruhan golongan penduduk Cherok Tokkun menimba pengalaman awal dalam pelajaran di Sekolah Kebangsaan Juara. Golongan ini kini bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan dan melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan yang sebenarnya amat berguna jika dapat diturunkan kepada generasi yang lebih muda terutamanya para pelajar yang masih menuntut. Bekas pelajar-pelajar ini juga telah melalui berbagai cabaran semasa menempuhi alam pembelajaran yang pastinya dapat membantu para pelajar yang masih bertungkus-lumus menimba ilmu di kelas.
Apa yang menjadi masalah disini ialah ketiadaan medium untuk golongan ini berkongsi pengalaman mereka. Disinilah timbulnya idea untuk menubuhkan satu persatuan yang mampu menjadi medium untuk menyalurkan segala pengalaman dan ilmu yang berguna kepada pelajar-pelajar. Persatuan yang paling relevan dengan fungsi tersebut ialah sebuah persatuan yang dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar ini dalam satu organisasi. Idea penubuhan ini sebenarnya telah timbul sejak beberapa tahun lepas oleh sebilangan bekas pelajar Darjah Enam Tahun 1993 yang cuba memperbaiki dan mengeratkan hubungan siratulrahim yang telah lama terputus. Dengan usaha dan tindakan bekas pelajar Darjah Enam Tahun 1993 dianggotai oleh En. Zarim Hushin, En. Mohamad Nasir Ismail, Pn. Hanani Ahmad Zubir dan lain-lain, mereka bertindak untuk merealisasikan idea penubuhan tersebut. Justeru tindakan segera perlu diambil segera supaya idea tersebut tidak terkubur begitu sahaja. Semoga Kewujudan kertas kerja ini dapat membuka langkah pertama penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Juara. 

Relevan Penubuhan
Seperti yang dinyatakan, satu saluran perlu diwujudkan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran bekas pelajar-pelajar dapat digunakan untuk memajukan sekolah. Selain itu, penubuhan alumni juga dapat mengumpulkan semula hampir keseluruhan bekas pelajar-pelajar yang pernah menuntut ilmu di SK Juara. Dengan ini mereka dapat bertukar-tukar fikiran dan idea untuk digarap bersama sebagai satu idea baru yang akan dapat digunakan sebagai satu langkah untuk membawa kebaikan kepada sekolah khasnya dan kepada penduduk Cherok Tokkun amnya. 
Jika difikirkan semula, sebuah sekolah yang telah berusia lebih satu abad sepatutnya mempunyai satu persatuan khas untuk mengumpulkan bekas pelajar-pelajarnya bagi memastikan kewujudan sekolah ini sentiasa memberi faedah dan kebaikan kepada orang ramai di sekitarnya. Jadi penubuhan Alumni ini sangat bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan semasa di mana orang ramai kini kurang mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di sekolah.
Alumni juga mampu menjadi satu organisasi penting yang membawa pengaruh besar kepada golongan muda Cherok Tokkun yang kini dilihat sibuk melakukan hal masing-masing sahaja. Golongan muda ini yang juga terdiri daripada bekas pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Juara perlu ditarik menyertai aktiviti sekolah bagi membawa impak yang lebih besar kepada kemajuan sekolah kerana mereka dapat dilihat sebagai satu lapisan yang satu hari nanti akan membarisi tampuk kepimpinan PIBG dan sekolah. Apa yang diharapkan agar golongan ini akan dapat meneruskan malah memperkukuhkan perjuangan PIBG yang sedia ada.
Pihak sekolah sendiri pastinya menyimpan harapan agar pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sini pulang semula untuk menabur bakti dan membantu pihak sekolah mencapai matlamat sebagai pusat ilmu utama di Cherok Tokkun. Hanya alumni sahaja dapat merealisasikan harapan ini kerana ia tidak terhad kepada lapisan masyarakat tertentu sahaja. 

Objektif Penubuhan
Alumni diharap bukan sekadar dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Juara, malah membantu sekolah untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang. Berikut digariskan beberapa objektif utama penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Juara :
1.         Mengumpulkan kepakaran dalam pelbagai aspek pelajaran daripada segenap lapisan bekas pelajar sebagai pemangkin kecemerlangan sekolah.
2.         Sebagai satu mekanisma sokongan kepada PIBG dan sekolah dalam memperbaiki sistem pembelajaran di samping memastikan kebajikan para pelajar sentiasa diberi perhatian.
3.         Berfungsi untuk memberi bantuan kepada pihak sekolah dari segi sumber pengajaran, kemudahan pelajar dan apa-apa material yang dilihat dapat membantu kemajuan sekolah.
4.         Menjadi satu saluran selain PIBG untuk penduduk menyuarakan pendapat dan cadangan kepada pihak sekolah. Dengan ini aliran maklumat dapat berlaku dengan lebih lancar dan sistematik.
5.         Memberi bantuan yang sewajarnya kepada dalam menjayakan sesuatu majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah sekaligus melancarkan perjalanan program tersebut.
6.         Sebagai rakan dan juga pendokong misi dan visi SK Juara.
7.         Merangka program-program pembangunan akademik dan sahsiah untuk membantu kecemerlangan sekolah dari segi akademik mahupun disiplin pelajar.
8.         Berkongsi pengalaman dalam menempuh alam persekolahan sehingga ke alam pekerjaan. 

Aktiviti
Aktiviti alumni perlu ditumpukan kepada beberapa elemen penting.
·       Pembangunan sosial dan akademik pelajar
·       Penjanaan Kewangan
·       Perkongsian kepakaran
·       Aksesori tambahan
Antara aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan oleh Alumni:
1.         Kelas-kelas tambahan untuk memperkukuhkan pembelajaran murid-murid. Tenaga pengajar terdiri daripada ahli alumni sendiri.
2.         Ceramah motivasi dan teknik menghadapi peperiksaan yang disampaikan oleh individu-individu berpengalaman.
3.         Kempen kesedaran kepada ibubapa dan sekolah tentang kepentingan hubungan akrab antara para ibubapa dan sekolah.
4.         Perjumpaan semula bekas pelajar yang pernah menuntut dan guru yang pernah mencurahkan ilmu di Sekolah Kebangsaan Juara.
5.         Ceramah/seminar untuk memberi panduan dan nasihat kepada pelajar dan ibubapa tentang skop kerjaya. 

Penutup
Berdasarkan kertas kerja ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa penubuhan Alumni adalah relevan dengan keperluan semasa. Melalui penubuhannya semua pihak akan mendapat pelbagai manfaat dan kebaikan samada secara langsung mahupun tidak langsung. Tiada pihak yang akan mendapat kesan negatif daripadanya. Jadi semua golongan harus bekerjasama agar penubuhan Alumni SK Juara dapat direalisasikan dengan jayanya.

Wednesday 27 June 2012

Sejarah Sekolah Kebangsaan Juara

Sekolah Kebangsaan Juara mula dikenali dengan nama Sekolah Melayu Cherok To' Kun yang letaknya di Kampung Cherok To'Kun , Bukit Mertajam . Sekolah ini mula didirikan pada tahun 1908 dengan menggunakan sebuahkan sebuah bangunan papan. Bangunan ini sekarang digunakan oleh KEMAS.
Pada tahun itu (1908) hanya tiga kelas sahaja dibuka dengan mempunyai seramai lebih kurang 80 orang murid. Selepas itu kelas bertambah menjadi 5 buah kelas , maka murid yang belajar mengguna 2 buah bangunan iaitu di bangunan KEMAS dan di bangunan Sekolah Agama yang ada sekarang iaitu pada tahun 1932 .
Guru Besar yang pertama ialah Cikgu Othman yang dikenali dengan panggilan Pak Man. Beliau menjadi guru besar di sini dari tahun 1908 hingga 1912.
Dalam tahun lima puluhan , Timbalan Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Anwar bin Datuk Hj Ibrahim adalah salah seorang bekas pelajar di sekolah ini.
Pada tahun 1966, semua Sekolah Melayu ditukar nama iaitu menjadi Sekolah Umum. Sekolah Melayu Cherok To'Kun ditukar menjadi Sekolah Umum Cherok To'Kun .Pada masa itu Menteri Pelajarannya ialah Encik Mohd Khir Johari.
Dalam tahun enam puluhan , bilangan murid semakin bertambah dan 3 blok bangunan yang ada di kawasan sekolah ini, sekarang digunakan untuk kelas-kelas pembelajaran. Bangunan yang lama tidak lagi digunakan , ia digunakan sebagai kelas KEMAS pada masa kini.
Bila ketiga-tiga blok ini digunakan , pejabat dan bilik guru besar di tempatkan di blok C dan beberapa tahun kemudian , pejabat dan bilik guru besar dipindahkan ke blok A .
Pada tahun enam puluhan , pencapaian sekolah ini dalam bidang Ko-Kurikulum khususnya,bidang permainan sangat menggalakkan terutama dalam permainan bola jaring dan bola sepak . Oleh sebab sekolah ini sering menjadi johan dalam bidang permainan , maka nama sekolah ini ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan Juara pada tahun 1969. Pada ketika itu Menteri Pelajaran Malaysia ialah YB Datuk Haji Abdul Rahman bin Yaakob.
Semua sekolah yang bahasa penganntarnya Melayu ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan. Bangunan Sekolah Kebangsaan Juara telah dirasmikan oleh YB. Datuk Haji Abdul Rahman bin Yaakob pada 29. 9. 1969 .
Pada tahun 1986 , Sekolah Kebangsaan Juara dinaikkan dari gred C menjadi gred B . Bilangan murid pada masa itu ialah 395 orang dan dikendalikan oleh 18 orang guru dan 4 orang pekerja.
Untuk menampung murid yang semakin bertambah , sebuah bangunan baru tiga tingkat telah didirikan dan mula digunakan pada bulan Jun 1987. Di bangunan baru ini di tempatkan pejabat , bilik guru besar , bilik penolong kanan , bilik guru , bilik sumber , perpustakaan ,surau dan kelas pembelajaran .
Pada tahun 1989 , sekolah ini telah mendapat sebidang tanah untuk dijadikan padang sekolah . Luas kawasan sekolah sekarang ialah 8.9 ekar .