Sebagai sebuah sekolah yang telah lama
ditubuhkan, Sekolah Kebangsaan Juara, Cherok Tokkun, Bukit Mertajam, Pulau
Pinang, telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai
bidang. Boleh dikatakan hampir keseluruhan golongan penduduk Cherok Tokkun
menimba pengalaman awal dalam pelajaran di Sekolah Kebangsaan Juara. Golongan
ini kini bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan dan melalui pelbagai
pengalaman dalam kehidupan yang sebenarnya amat berguna jika dapat diturunkan
kepada generasi yang lebih muda terutamanya para pelajar yang masih menuntut.
Bekas pelajar-pelajar ini juga telah melalui berbagai cabaran semasa menempuhi
alam pembelajaran yang pastinya dapat membantu para pelajar yang masih bertungkus-lumus
menimba ilmu di kelas.
Apa yang menjadi masalah disini ialah
ketiadaan medium untuk golongan ini berkongsi pengalaman mereka. Disinilah
timbulnya idea untuk menubuhkan satu persatuan yang mampu menjadi medium untuk
menyalurkan segala pengalaman dan ilmu yang berguna kepada pelajar-pelajar.
Persatuan yang paling relevan dengan fungsi tersebut ialah sebuah persatuan
yang dapat mengumpulkan bekas pelajar-pelajar ini dalam satu organisasi. Idea
penubuhan ini sebenarnya telah timbul sejak beberapa tahun lepas oleh
sebilangan bekas pelajar Darjah Enam
Tahun 1993 yang cuba memperbaiki dan mengeratkan hubungan siratulrahim yang
telah lama terputus. Dengan usaha dan tindakan bekas pelajar Darjah Enam Tahun
1993 dianggotai oleh En. Zarim Hushin, En. Mohamad Nasir Ismail, Pn. Hanani Ahmad Zubir dan lain-lain, mereka bertindak untuk merealisasikan idea penubuhan tersebut. Justeru
tindakan segera perlu diambil segera supaya idea tersebut tidak terkubur begitu
sahaja. Semoga Kewujudan kertas kerja ini dapat membuka langkah pertama
penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan
Juara.
Relevan Penubuhan
Seperti yang dinyatakan, satu saluran perlu
diwujudkan bagi memastikan pengalaman dan kepakaran bekas pelajar-pelajar dapat
digunakan untuk memajukan sekolah. Selain itu, penubuhan alumni juga dapat
mengumpulkan semula hampir keseluruhan bekas pelajar-pelajar yang pernah
menuntut ilmu di SK Juara. Dengan ini mereka dapat bertukar-tukar fikiran dan
idea untuk digarap bersama sebagai satu idea baru yang akan dapat digunakan
sebagai satu langkah untuk membawa kebaikan kepada sekolah khasnya dan kepada
penduduk Cherok Tokkun amnya.
Jika difikirkan semula, sebuah sekolah yang
telah berusia lebih satu abad sepatutnya mempunyai satu persatuan khas untuk
mengumpulkan bekas pelajar-pelajarnya bagi memastikan kewujudan sekolah ini
sentiasa memberi faedah dan kebaikan kepada orang ramai di sekitarnya. Jadi
penubuhan Alumni ini sangat bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan semasa di
mana orang ramai kini kurang mengambil perhatian terhadap isu-isu yang berlaku
di sekolah.
Alumni juga mampu menjadi satu organisasi
penting yang membawa pengaruh besar kepada golongan muda Cherok Tokkun yang
kini dilihat sibuk melakukan hal masing-masing sahaja. Golongan muda ini yang
juga terdiri daripada bekas pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Juara perlu
ditarik menyertai aktiviti sekolah bagi membawa impak yang lebih besar kepada
kemajuan sekolah kerana mereka dapat dilihat sebagai satu lapisan yang satu
hari nanti akan membarisi tampuk kepimpinan PIBG dan sekolah. Apa yang diharapkan
agar golongan ini akan dapat meneruskan malah memperkukuhkan perjuangan PIBG
yang sedia ada.
Pihak sekolah sendiri pastinya menyimpan
harapan agar pelajar-pelajar yang pernah menuntut di sini pulang semula untuk
menabur bakti dan membantu pihak sekolah mencapai matlamat sebagai pusat ilmu
utama di Cherok Tokkun. Hanya alumni sahaja dapat merealisasikan harapan ini
kerana ia tidak terhad kepada lapisan masyarakat tertentu sahaja.
Objektif Penubuhan
Alumni diharap bukan sekadar dapat mengumpulkan bekas
pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Juara, malah membantu sekolah untuk mencapai
kemajuan dalam pelbagai bidang. Berikut digariskan beberapa objektif utama
penubuhan Alumni Sekolah Kebangsaan Juara :
1. Mengumpulkan kepakaran dalam pelbagai
aspek pelajaran daripada segenap lapisan bekas pelajar sebagai pemangkin
kecemerlangan sekolah.
2. Sebagai satu mekanisma sokongan kepada
PIBG dan sekolah dalam memperbaiki sistem pembelajaran di samping memastikan
kebajikan para pelajar sentiasa diberi perhatian.
3. Berfungsi untuk memberi bantuan kepada
pihak sekolah dari segi sumber pengajaran, kemudahan pelajar dan apa-apa
material yang dilihat dapat membantu kemajuan sekolah.
4. Menjadi satu saluran selain PIBG untuk
penduduk menyuarakan pendapat dan cadangan kepada pihak sekolah. Dengan ini
aliran maklumat dapat berlaku dengan lebih lancar dan sistematik.
5. Memberi bantuan yang sewajarnya kepada dalam
menjayakan sesuatu majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah sekaligus
melancarkan perjalanan program tersebut.
6. Sebagai rakan dan juga pendokong misi
dan visi SK Juara.
7. Merangka program-program pembangunan
akademik dan sahsiah untuk membantu kecemerlangan sekolah dari segi akademik
mahupun disiplin pelajar.
8. Berkongsi pengalaman dalam menempuh
alam persekolahan sehingga ke alam pekerjaan.
Aktiviti
Aktiviti alumni perlu ditumpukan kepada beberapa elemen penting.
·
Pembangunan sosial dan akademik
pelajar
·
Penjanaan Kewangan
·
Perkongsian kepakaran
·
Aksesori tambahan
Antara aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan oleh Alumni:
1. Kelas-kelas
tambahan untuk memperkukuhkan pembelajaran murid-murid. Tenaga pengajar terdiri
daripada ahli alumni sendiri.
2. Ceramah motivasi
dan teknik menghadapi peperiksaan yang disampaikan oleh individu-individu
berpengalaman.
3. Kempen kesedaran
kepada ibubapa dan sekolah tentang kepentingan hubungan akrab antara para
ibubapa dan sekolah.
4. Perjumpaan semula
bekas pelajar yang pernah menuntut dan guru yang pernah mencurahkan ilmu di Sekolah
Kebangsaan Juara.
5. Ceramah/seminar
untuk memberi panduan dan nasihat kepada pelajar dan ibubapa tentang skop
kerjaya.
Penutup
Berdasarkan kertas kerja ini, kita dapat melihat dengan jelas
bahawa penubuhan Alumni adalah relevan dengan keperluan semasa. Melalui
penubuhannya semua pihak akan mendapat pelbagai manfaat dan kebaikan samada secara
langsung mahupun tidak langsung. Tiada pihak yang akan mendapat kesan negatif
daripadanya. Jadi semua golongan harus bekerjasama agar penubuhan Alumni SK
Juara dapat direalisasikan dengan jayanya.